Sunday, 31 May 2015

KASIH SEORANG IBU


Ibu
Ketika anak-anakmu lapar, tangan ibulah yang menyuapkan nasi ke mulut kami
Ketika kami haus, tangan ibulah yang memberi minuman kepada kami
Ketika kami dilanda masalah, tangan ibulah yang membelai sambil menenangkan kami
Ketika kami sakit, tangan ibulah yang merawat kami, yang memasakkan bubur untuk kami, yang berjaga di tengah malam ketika kami merengek menahan kesakitan
Tangan ibulah yang membasuh, menyidai, dan melipat semua pakaian kami
Walaupun ibu terlalu penat dalam menjaga dan melayan kerenah kami tetapi ibu tidak pernah merungut dan berasa kesal walau sekalipun.

Ibu
Kami ingin berterima kasih kepadamu atas semua yang telah kau berikan kepada kami
Jasa dan pengorbananmu terlalu besar dalam membesar dan mendidik kami
Kami berjanji akan menjadi anak-anak yang terbaik buat ibu, kami berjanji akan menjaga maruh dan aibmu sebagai seorang ibu
Terima kasih Allah atas kurniaan seorang ibu yang istimewa buat kami dan kami berdoa semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmatimu wahai ibu.

KASIH SEORANG AYAH



Aku masih teringat sewaktu aku kecil
Ayah begitu kerja keras dalam menyara kami sekeluarga
Pada sebelah malam, ayah akan memulakan kerja hariannya seperti biasa dan disambung pada sebelah paginya sehinggalah ke waktu tengahari barulah ayah pulang
Motorsikal tua itulah yang membawa ayah pergi mencari rezeki, meredah hujan dan panas
Namun, ayah tidak pernah merungut walau sekalipun
Tetapi dari wajah ayah aku tahu begitu penat dalam mencari rezeki demi sesuap nasi yang ingin diberikan kepada anak-anaknya dan isterinya
Begitu besar pengorbanan ayah dalam membesarkan kami.

Ayah,
Kasih sayangmu menggegar jiwa ini
Kau tulus dalam memberi kasih sayangmu kepada kami
Kau cukup dalam memberi didikan dunia dan akhirat kepada kami, kerana kau ingin melihat anakmu berjaya di dunia dan akhirat
Kau akan memenuhi setiap keperluan dan kehendak anakmu ini.

Ayah,
Inginku katakan sesuatu kepadamu
Mungkin satu hari nanti aku tidak dapat memewahkan kau dengan harta kebendaan
Tetapi aku berjanji, aku akan menjadi anak yang solehah, aku akan menjaga maruah dan aibmu sebagai seorang ayah kerana impian aku ingin menghantar kau ke syurga, ayah.


E-PEMBELAJARAN DALAM PENDIDIKAN TINGGI


Sistem pendidikan pada masa kini telah mengalami perubahan yang amat pesat. Pelbagai kaedah baru telah diperkenalkan dan digunakan agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna. Sehubungan dengan itu, kaedah e-pembelajaran telah digunakan dalam pendidikan tinggi pada masa kini. E-pembelajaran ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian menggunakan rangkaian elektronik untuk penyampaian isi kandungan, interaksi, atau pemudahcara.

E-pembelajaran membolehkan pelajar belajar di mana sahaja dan mengikuti waktu yang dipilih oleh pelajar. Ini membolehkan pelajar menguruskan sendiri masanya dengan lebih efektif. Pembelajaran secara interaktif secara talian membolehkan pelajar meneroka maklumat baru menerusi perpustakaan digital atau laman web dan pelajar berpeluang mendapatkan pengalaman berbincang dengan pakar dari unversiti melalui e-mel atau balckboard.

Seterusnya, melalui e-pembelajaran pelajar dapat memainkan peranan yang lebih dan melibatkan diri dalam pembelajaran secara aktif. Sebagai contohnya, pelajar membuat perancangan dan mencari bahan bahan atau maklumat berkenaan isi pelajaran dengan daya usaha serta inisiatif tersendiri. Oleh itu, pelajar yang mengikuti pendidikan dalam talian lebih berdikari berbanding dengan pelajar yang mengikuti pengajian di kelas.

Kesimpulannya, penggunaan e-pembelajaran dalam pendidikan tinggi dapat melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas, berfikir secara kritis dan kreatif. Selain itu, e-pembelajaran dapat menghubungkan pelajar dengan pendidikan di seluruh dunia.

PENGALAMAN MENCEBURI PERNIAGAAN PEMASARAN PELBAGAI PERINGKAT



Pada 8 Januari 2015, genap setahun saya berada dalam perniagaan ' Pemasaran Pelbagai Perimgkat Herbalife'. Herbalife merupakan produk penggantian pemakanan yang sihat dan pengurusan berat badan yang terkenal di dunia. Saya menyertai perniagaan ini kerana ingin meletakkan diri dalam zon yang mencabar. Begitu banyak pengalaman yang saya perolehi sepanjang saya melibatkan diri dalam perniagaan ini.


Antara pengalaman yang saya perolehi ialah menyertai Ekstravaganza Herbalife di Singapura pada tahun lepas. Seramai dua puluh ribu orang yang datang dari pelbagai negara telah berkumpul di dalam satu majlis yang cukup gilang-gemilang ini. Dalam majlis ini saya berpeluang berjumpa dengan mereka yang telah berjaya dan mereka turut berkongsi rahsia kejayaan mereka. Sekiranya diberi kesempatan saya akan menyertai Ekstravaganza Herbalife di Bangkok, Thailand. pada bulan Jun yang akan datang ini.


Bersama President Team dari Taiwan

Bersama President Team dari Malaysia

Bersama Dr. Natiel dari Brazil

Seterusnya, melalui perniagaan ini saya banyak belajar mengenai ilmu kesihatan, perniagaan, dan bagaimana ingin menubuhkan kelab nutrisi. Saya berhasrat ingin membuka kelab nutrisi di Universiti Utara Malaysia. Melalui kelab nutrisi ini saya ingin memberi kesedaran kepada para pelajar betapa pentingnya pengambilan sarapan pagi yang berkhasiat. Jadi, dengan penubuhan kelab nutrisi ini, para pelajar boleh datang dan berpeluang merasai sarapan pagi nutrisi yang disediakan.

Kesimpulannya, saya berharap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi sihat dan semoga saya dapat meraih kejayaan dalam perniagaan ini seperti mereka yang telah berjaya.

CABARAN WANITA BEKERJAYA DALAM MENGUTAMAKAN KELUARGA

Dalam mencapai negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2020, kerajaan membuat penetapan sebanyak 55 peratus wanita dalam tenaga kerja pada 2015. Namun begitu, tahun demi tahun penglibatan wanita dalam tenaga kerja semakin meningkat dek peningkatan kos sara hidup. Sungguh pun begitu, wanita bekerjaya harus menghadapi cabaran-cabaran yang tersendiri.

Antara cabaran yang perlu mereka hadapi ialah mereka harus memikul tanggungjawab sebagai pekerja, ibu, dan juga isteri pada masa yang sama. Dalam situasi ini, mereka haruslah bijak dalam menyusun dan membahagikan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Sebagai contohnya, para wanita bekerjaya boleh memulakan rutin harian pagi mereka dengan menyediakan sarapan pagi dan menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari. Dengan cara ini, mereka dapat memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga.


Seterusnya, sebagai wanita bekerjaya mereka harus menghadapi tekanan di tempat kerja dan juga di rumah. Dalam situasi ini, mereka haruslah bersikap profesional dengan tidak membawa masalah kerja ke rumah dan sebaliknya. Sebagai contohnya, mereka harus mempunyai ruang waktu yang khusus untuk diri sendiri. Dengan cara ini, mereka tidak akan melepaskan tekanan ke atas anak-anak dan juga suami dan kebahagiaan keluarga dapat dikekalkan.


Kesimpulannya, sesibuk mana sekali pun seseorang wanita itu terhadap pekerjaannya, hal kekeluargaan tidak boleh diketepikan. Keluarga harus dijadikan sebagai perkara utama dalam kehidupan dan diikuti dengan kerjaya.